“Semua ahli keluarga boleh masuk..
kita akan tanggalkan alat bantuan pernafasan puan sebentar lagi”. Kalimah yang paling aku takut mahu dengar dan
kalau diberi pilihan aku tidak mahu ia wujud di bibir mana-mana manusia.
TIADA HARAPAN
Kami sekeluarga di arahkan untuk
masuk dan melihat mak buat kali
terakhir. Saat jururawat dan doktor menanggalkan alat itu terus kaku sebujur
tubuh di atas katil. Ku lihat kakak-kakak ku rebah di sisi ayah begitu jua
abang-abangku.
REBAH TERGAMAM
Tanganku ditarik seseorang dibawa
masuk ke dalam kereta terus membawa diriku pulang, aku masih membisu sehingga
aku tidak sedar diri ku di bawa pulang oleh saudaraku, aku, kakak-kakak dan
abang-abang terpisah saat ini. Aku tak sedar mereka di bawa pulang ke rumah
oleh siapa. Ayah dan kakak yang sulung terus
kuat meneruskan urusan jenazah di hospital untuk di bawa pulang ke rumah.
YANG PAHIT DITELAN JUA
Aku masih tidak sedar mahupun
mengerti apa yang telah terjadi, saat
melihat kawasan rumah dipenuhi sanak saudara dan jiran tetangga, aku
kehairanan. Apa yang terjadi?? “Adik,
mak dah tak ada” kata-kata seorang ibu, mak cik Ju jiran paling rapat dengan
keluarga kami. Dipeluknya erat diriku. Menitis, mengalir titisan jernih dipipiku, saat
tu baru ku sedar. MAK SUDAH TIADA, ya baru aku sedar. TIADA BUAT SELAMANYA
Al- Fatihah...
Mariam Hamzah
25 September 1948 – 21 April 2004
Kisah yang benar
terjadi dalam hidup saya, ketika itu
saya masih bersekolah, ya seorang gadis yang masih bergantung kasih kepada
ibunya, 14 tahun bersama melalui hari-hari dengan ketawa, gurau senda dan manja
ibunya kini musnah dalam masa satu hari. Kini bagaimana gadis seusia itu mahu
menerima janji Allah. Tidak cepat tidak juga lambat itulah janji Tuhan yang
pasti..
RENCAH KEHIDUPAN
Setiap daripada kita mesti tak lari
daripada dugaan bukan. Ya, tu memang MAKANAN RUJI bagi setiap yang
hidup, dan setiap dugaan adalah berbeza.
Ada Allah uji dengan kesenangan,pangkat,
darjat, harta, wanita, kesusahan,
kesedihan, kemiskinan, juga sebahagiaan daripada dugaan Allah.
MENGAPA.. MENGAPA.. MENGAPA
"Kenapa Allah uji aku?? aku
tak kuat ", “ kenapa mesti aku? , “kenapa mesti begini?”
Pertanyaan sebegitu sering kali
bermain di sanubari. Ya kita sering mempersoalkan Tuhan, mengapa Allah, mengapa, apa hikmahnya sehingga kadang kala
jika benteng keimanan kita ini rapuh persoalan itu boleh membawa kepada
kemudharatan dan kerosakkan pada akidah dan diri.
"Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di
antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha
Pengampun" (Al-Mulk : 2)
Jadi jelas tujuannya untuk mengira
siapa yang benar dan tulus dalam amalannya.
BICARA ILAHI
Firman Allah.. "Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum
datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu?
Mereka ditimpa malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan
bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman
bersamanya. Bila datangnya pertolongan Allah? ingatlah sesungguhnya pertolongan
Allah itu amat dekat" ( QS Al-Baqarah : 214)
Bangkitlah jiwa yang diuji, Tuhanmu
sedang berbicara denganmu, Allah sedang mengajar erti sabar dan ikhlas dalam
dirimu dalam mencintaNYA. Kita dilahirkan dengan keturunan yang menganuti agama
Islam, hampir setiap hari dalam solat kita melafazkan kalimah syahadah. Persoalannya
apa kita benar-benar faham dan mengerti makna kalimah LA ILLAHA ILLALLAH.
TIADA TUHAN SELAIN ALLAH
Jika seorang anak sedang asyik bermain gunting lalu ditegur dan
dimarahi oleh ibunya kerana khuatir membahayakan anaknya, itu tanda sayang ibu
kepada anaknya. Begitu jua dengan Allah, ujian adalah tarbiah (teguran) Allah
pada hambaNYA bagi menyedarkan kita mungkin ada masa-masa kita lalai, alpa,
sombong dan riak. Semata-mata kerana sayang, Allah sayangkan kita, dan setiap ujian Allah pada kita adalah untuk
meningkatan iman kita. Bagaimana setiap ujian itu bakal meningkatkan iman?
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya
berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu
cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu
daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui
Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa
yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. ( QS Al-Ankabut : 2-3)
Setiap kali Allah beri kita ujian,
Allah hendak lihat bagaimana usaha hambaNYA mengatasi ujian itu. Jika diberi
kesenangan, adakah dia akan bersyukur, masih rendah diri, atau riak, sombong
atau bongkak. Jika diberi kesusahan
pula, adakah dia akan masih lagi bersyukur, tetap redha, mencari dan mengharap
pada Allah atau menyalahkan Allah, meyakiti diri atau adakah hambaNYA yang hina
ini masih lagi mahu mengenggam kalimah
LA ILLAHA ILLALLAH.
DARIPADA DUNIA MENUJU AKHIRAT
"Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala
kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak
lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu
ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini
tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat)"( QS Al-Ankabut : 64)
Ingat... Yakin.. Janji Allah itu
pasti, mati itu pasti, dunia adalah persinggahan sementara. Hakikat kita semua
adalah ahli syurga, kerana asal Nabi Adam itu daripada syurga tercampak ke bumi
kerana dosanya, lahirlah kita cucu cicitnya sekarang yang berjuang mencari jalan pulang semula ke
syurga. Jalannya tak susah, IKHLAS dan
SABAR, tetapi untuk berada dan berterusan di jalannya yang susah.
MATI
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari
kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang
dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah
berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala
kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi
orang-orang yang terpedaya.” (QS Al-Imran : 185)
Jadi fikir dan renungkan di mana
letak diri kita, apabila ditimpa ujian apa tindakan kita. Ibaratnya kita ke
sekolah, di sekolah kita diajar oleh guru, memahami semula melalui buku, dan bila
sampai satu tempoh kefahaman kita akan dinilai atas apa yang kita pelajari dan keputusan kita menentukan kita untuk ke peringkat
seterusnya dalam tahap pengajian kita. Begitu jua kehidupan kita, erti kehidupan
kita pelajari daripada insan-insan berilmu, panduan hidup kita adalah daripada
Al-Quran dan As-Sunnah dan hidup kita ini diuji oleh Allah untuk kita meningkatkan
iman dalam menghadapi fasa kehidupan seterusnya. Keputusan lulus atau gagal akan
terjawab semasa di akhirat nanti . Terbentang segala perlakuan jahat mahupun
baik. Akhirat kampung kita yang kekal
dan abadi, ke mana langkah kita? SYURGA atau
NERAKA.
Wallahua’alam.